23 Julai 2025 – Seramai 20 pelajar cemerlang dari negeri Johor menerima sumbangan peranti tablet daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dalam sebuah majlis yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
Sumbangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, dalam satu sesi penyerahan yang turut mendapat kerjasama penuh daripada UPSI selaku tuan rumah melalui kehadiran Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff. YB Tuan Haji Azizul bin Bachok (ADUN Tiram) dan Dato’ Mohd Amin bin Ahmad, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, turut hadir mengiringi Datuk Bandar dalam menjayakan inisiatif ini.
Inisiatif ini merupakan salah satu langkah proaktif MBPG dalam menyokong kecemerlangan akademik pelajar Johor serta memperluas akses kepada teknologi digital sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.
MBPG kekal komited dalam usaha memperkasa modal insan melalui sokongan pendidikan yang inklusif dan berkualiti, seiring dengan peranan UPSI sebagai institusi melahirkan pendidik berwibawa — demi kemajuan Johor dan masa depan anak bangsa.
