5/6/2023 Hari ini merupakan hari terakhir penganjuran Program Sambutan Hari Buaya Sedunia peringkat Sarang Buaya Pasir Gudang 2023. Program yang berlangsung sejak 3 Jun telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dimana ianya telah dirasmikan semalam oleh Yang Berhormat Tuan Haji Azizul bin Hj Bachok selaku Adun Tiram.
Bersempena program yang berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menarik para pengunjung untuk bersama-sama terlibat secara langsung dalam usaha memberi kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar, kesan pemanasan global serta kepentingan untuk manusia sejagat pada masa hadapan.
Di antara aktiviti yang disediakan adalah seperti taklimat pakej pelancongan pendidikan kenali buaya, tayangan video perilaku buaya, pameran anatomi buaya tembaga, pameran telur dan anak buaya, demostrasi memberi buaya makan , demonstrasi penangkapan buaya, melawat taman rekreasi paya bakau, bergambar bersama reptilian eksotik, petting zoo dan penyediaan kemudahan food truck.
Melalui ucapannya beliau berharap semoga melalui medium ini, Sarang Buaya Pasir Gudang akan menjadi salah satu destinasi pelancongan yang bukan sahaja sekadar menjadi lokasi untuk bereakrasi semata-mata malah terkenal kerana berteraskan pendidikan yang disediakan. Di akhir ucapannya, beliau turut berharap semoga usaha ini turut dapat melonjakkan sektor eko pelancongan, farmaseutikal dan pendidikan yang berasaskan penyelidikan.
Sejajar melalui kempen ini juga, Sarang Buaya Pasir Gudang dilihat sebagai satu-satunya santuari buaya di Malaysia yang turut mengambil inisiatif menyertai kempen global ini buat kali kedua dengan menyediakan pelbagai aktiviti kesedaran alam sekitar, pendedahan kepada haiwan reptilia, kepentingan penjagaan kesihatan haiwan dan kepentingan habitat buaya di Malaysia.
YB Tuan Hj Azizul telah berkesempatan untuk memasukkan cip pengenalan keatas anak buaya yang baru menetas dan seterusnya telah menamakannya sebagai ‘Boya Marit’.