22 Februari 2025, JKPZ Zon Mawar dan COMBI Mawar dengan kerjasama MBPG telah menganjurkan Program Zon Mawar Bersih sebagai langkah proaktif dalam usaha membasmi pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penularan wabak denggi di kawasan ini.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, serta Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Amin bin Ahmad, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG merangkap Pengerusi JKPZ Zon Mawar.
Dalam program ini, Datuk Bandar Pasir Gudang turut melawat dan membuat rondaan di sekitar kawasan Zon Mawar bagi meninjau keadaan persekitaran serta mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki, khususnya berkaitan kebersihan dan pencegahan denggi. Lawatan ini juga bertujuan memastikan tindakan susulan dapat diambil untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat.
MaPelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk gotong-royong pembersihan, pemeriksaan sarang nyamuk, serta sesi kesedaran mengenai bahaya denggi oleh COMBI Mawar, Usaha ini bertujuan memastikan kawasan Zon Mawar bebas daripada ancaman nyamuk Aedes dan sekaligus mengurangkan risiko penularan denggi.
MBPG menyeru seluruh warga Pasir Gudang untuk bersama-sama menjayakan usaha ini kerana “Tiada Aedes, Tiada Denggi”. Lindungi diri, keluarga, dan komuniti dengan memastikan persekitaran sentiasa bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk.
Terima kasih kepada JKPZ Zon Mawar dan COMBI Mawar atas penganjuran program ini serta kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini.
