16 Mac 2025, MBPG telah menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana Pasir Gudang 2025 bertempat di Masjid At-Taqwa, Taman Kota Masai pada hari ini.
Program ini melibatkan kerjasama erat daripada pelbagai komuniti dan agensi, termasuk 24 Zon Ahli Majlis MBPG, Usahawan Rerort MBPG, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd, Majlis Belia Negeri Johor, Balai Polis Pasir Gudang, KSK dan Anulae MBPG, Masjid AL-ULYA Taman Air Biru, Masjid At-Taqwa Taman Kota Masai, serta KRT Jalan Nenas.
Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, bersama Yang Berbahagia Puan Nurul Ashikin binti Haji A. Jabar, Setiausaha MBPG, Yang Berbahagia Dato' Mohd Amin bin Ahmad Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Ahli Majlis MBPG serta ketua-ketua jabatan, bahagian dan unit MBPG.
Program ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga sebagai platform untuk mempereratkan silaturahim dan menyemai nilai-nilai murni sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Tidak lupa juga, MBPG merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja yang telah menyumbang dalam menjayakan program ini. Sokongan yang diberikan amat bermakna dalam memperkukuhkan lagi semangat komuniti dan kebajikan masyarakat setempat.
