PERUTUSAN SYAWAL
1439H/2018M
YBHG. ENCIK HASRIN KAMAL BIN HASHIM
YANG DIPERTUA
MAJLIS PERBANDARAN PASIR GUDANG
1. Alhamdulillah, rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut Syawal 1439H yang penuh rahmat dan kesucian.
2. Setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramdan, Syawal yang bakal disambut seharusnya kita manfaatkan untuk mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan. Hari kemenangan yang disambut meriah oleh semua umat Islam di dunia ini tidak harus dicemari oleh apa-apa sentimen negatif.
3. Walaupun dalam kegembiraan menyambut Syawal, ahli masyarakat yang kurang bernasib baik jangan kita lupa. Zakat dan bantuan yang sewajarnya harus kita hulur agar lebaran ini dapat kita sambut bersama dengan lebih bermakna.
4. Pada bulan Syawal ini, kita harus memperkuat tali silaturrahim sesama saudara baik jauh atau dekat. Amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung yang subur dalam kalangan masyarakat perlu terus konsisten kerana ia menjadi jambatan penghubung antara komuniti di Pasir Gudang.
5. Saya begitu yakin bahawa penduduk di Pasir Gudang sangat tinggi pekerti dan sopan santunnya. Oleh itu, dalam perjalanan balik ke kampung, janganlah kita bersikap pentingkan diri sendiri. Memandulah dengan berhemah dan beradab semasa pulang ke kampung halaman. Pandu cermat, jiwa selamat.
6. Walau di manapun kita berada, harus kita sematkan dalam diri bahawa kemajuan tidak datang dalam sekelip mata. Maka sama-sama kita mengambil maghfirah bulan Syawal ini untuk bersatu bagi memajukan Pasir Gudang dan seluruh segmen masyarakatnya.
7. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga kerja MPPG dan penduduk di kawasan Pentadbiran MPPG.
Sesepoi bayu bertiup lembut
Berdendang keroncong ayu juita
Aidil Fitri ceria disambut
Tangan dihulur maaf dipinta
Sekian.