Langkau ke kandungan utama

21 Oktober 2026, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan Operasi Bersepadu di sekitar Jalan Sagai, Taman Pasir Putih dan kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap empat premis industri bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkaitan penempatan pekerja dan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan, dua pemilik syarikat dikenal pasti gagal mempamerkan nombor siri pendaftaran syarikat dan telah dikenakan kompaun berjumlah RM5,000.00 oleh SSM di bawah Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016.

Selain itu, empat pemilik syarikat dikenal pasti menempatkan pekerja tanpa perakuan penginapan yang sah daripada JTK. Mereka diarahkan hadir ke JTK melalui saman Borang F bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 24D, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Dalam operasi yang sama, satu notis lawatan bertempoh 21 hari turut dikeluarkan kepada sebuah syarikat di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), berhubung kesalahan membina petak, galeri, loteng dan sebagainya di dalam bangunan.

Operasi bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan MBPG bersama agensi penguat kuasa berkaitan dalam memastikan aktiviti perniagaan di Pasir Gudang mematuhi undang-undang, syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan.

OPERASI BERSEPADU