22 November 2026, Majestic Johor Festival 2026 Peringkat Daerah Johor Bahru melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari bermula 20 November 2026 di Dataran Mahkota, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Pasir Gudang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang, selaku wakil rasmi Yang Berbahagia Tuan Mohd Masni bin Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.
Turut hadir bersama ialah Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim, Pengarah Tourism Johor, Puan Nurazlin binti Abu Talib, Pengarah MOTAC Johor, Encik Mohd Hisam bin Said, Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, Yang Berhormat Dato’ Haji A. Rahim bin Haji Nin, Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor, ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil ketua jabatan negeri dan persekutuan, Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang, penghulu-penghulu Daerah Johor Bahru serta pemimpin-pemimpin masyarakat Daerah Johor Bahru.
Sepanjang penganjuran, festival ini mengetengahkan kepelbagaian warisan dan kebudayaan negeri Johor menerusi pameran warisan, persembahan kebudayaan, pertandingan serta aktiviti interaktif yang menampilkan keunikan seni, budaya dan gastronomi tempatan.
Antara tarikan utama yang mencuri perhatian ialah penyediaan 15,000 mangkuk Laksa Johor sehingga berjaya melakar pengiktirafan Malaysia Book of Records. Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat keistimewaan hidangan tradisional Johor, malah menjadi manifestasi kebanggaan terhadap warisan kulinari negeri.
Penganjuran ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali, menghayati dan menghargai khazanah warisan Johor, di samping menyokong usaha mempromosikan produk serta tarikan pelancongan negeri sempena kempen Visit Johor 2026.
Warisan dipelihara, budaya terus dibanggakan, Johor terus menjadi kebanggaan.