24/11/2021 Seramai 30 orang pelajar antarabangsa yang mengikuti Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri melalui pihak UTM dan Tourism Johor telah mengadakan lawatan ke Muzium Layang-layang Pasir Gudang pada petang semalam.
Lawatan tersebut telah disambut oleh Tuan Haji Ismail Bin Mat Taib selaku Pegawai di Unit Pelancongan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Para peserta telah diberikan taklimat tentang sejarah Muzium Layang-layang dan pendedahan mengenai pembuatan Wau atau layang-layang tradisional Malaysia. Para peserta juga turut diberi penerangan mengenai penganjuran acara berprestij Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang.
Lawatan berakhir dengan acara penyampaian cenderamata oleh kedua belah pihak.