4 Disember 2025, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah berjaya menganjurkan Majlis Penutup & Penyampaian Hadiah Konvensyen Kualiti Dalaman MBPG 2025 yang berlangsung di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Penganjuran tahun ini meneruskan usaha MBPG dalam memupuk budaya kerja berkualiti, menggalakkan inovasi dan mengukuhkan keupayaan organisasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Konvensyen ini menjadi platform kepada kumpulan KIK dan Kaizen MBPG untuk membentangkan projek penambahbaikan, idea kreatif serta penyelesaian inovatif berkaitan cabaran di jabatan masing-masing. Penyertaan daripada pelbagai jabatan jelas mencerminkan kesungguhan, kematangan pemikiran dan keberanian warga MBPG dalam mencipta pembaharuan.
Dalam ucapan penutupan, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk panel juri, fasilitator, pengarah jabatan serta para peserta yang berani mengetengahkan idea masing-masing.
Datuk Bandar menyeru agar semua amalan baik, idea baharu serta penambahbaikan yang diketengahkan sepanjang konvensyen ini tidak terhenti setakat pertandingan, tetapi diteruskan dan diadaptasi dalam sistem kerja harian setiap jabatan demi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Pasir Gudang.
Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang mengikut kategori yang dipertandingkan. Syabas kepada semua peserta yang telah berusaha sehabis baik dan tahniah kepada para pemenang Konvensyen Kualiti Dalaman MBPG 2025.
