13 Ogos 2026, Majlis Penutup Johor Smart City Forum (JSCF) 2026 Fasa 1 telah berlangsung di TMIYC Pasir Gudang dan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Ezlan Farid bin Mohd Said, Setiausaha MBPG, selaku wakil rasmi Datuk Bandar Pasir Gudang, dengan diiringi Yang Berusaha TPr. Abdulhan bin Abd Lamit, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia Johor).
Penganjuran JSCF 2026 Fasa 1 menjadi platform menghimpunkan pelbagai pihak untuk berkongsi ilmu, pengalaman, teknologi dan idea dalam memperkasa pembangunan bandar pintar.
Sepanjang penganjuran, pelbagai pengisian diketengahkan termasuk Special Session: Smart City Initiative in Pasir Gudang serta Tech Talk berkaitan Smart Living, GIS, infrastruktur masa hadapan, transformasi digital, kecerdasan buatan dan platform digital berorientasikan rakyat.
Turut diadakan pameran Smart Living serta pertandingan Drone Soccer, Robotik dan E-Sports yang membuka ruang kepada golongan muda untuk meneroka teknologi, menguji kemahiran dan menyerlahkan kreativiti.
Sebagai tuan rumah, MBPG turut berkongsi perjalanan Bandar Pintar Pasir Gudang yang kini berada pada Tahap 1 – Smart City Early Adopter dan sedang bergerak ke arah Tahap 2 – Developing Smart City.
Melalui Pelan Tindakan Bandar Pintar Pasir Gudang 2030, sebanyak 127 projek dan program telah dirangka merentas tujuh komponen, dengan 86 projek serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan bandar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PLANMalaysia Johor, barisan panel dan penceramah, wakil agensi kerajaan, pihak industri, institusi pengajian tinggi, para pempamer, peserta pertandingan, rakan strategik serta seluruh warga kerja MBPG atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan JSCF 2026 Fasa 1.
Daripada perkongsian ilmu kepada pencetusan idea, daripada teknologi kepada kolaborasi — JSCF 2026 Fasa 1 menjadi pemangkin kepada langkah seterusnya dalam membina bandar yang lebih pintar dan berdaya tahan.
Semoga segala ilmu, idea dan jaringan yang terbentuk terus diterjemahkan kepada lebih banyak kolaborasi dan penyelesaian pintar demi sebuah Pasir Gudang dan Negeri Johor yang lebih inovatif, lestari, rendah karbon, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.