Langkau ke kandungan utama

14 April 2025, MBPG telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pengurusan alam sekitar di kawasan Pasir Gudang.

Pihak MBPG diwakili oleh Yang Berbahagia Puan Nurul Ashikin binti Haji A. Jabar, Setiausaha MBPG dan Yang Berbahagia Tuan Haji Abd Malek bin Mohamed, Timbalan Setiausaha MBPG.

Antara fokus utama perbincangan adalah halatuju pemantauan kualiti udara dan air, termasuk pemantauan kualiti udara persekitaran (ambient air) dan TVOC (Total Volatile Organic Compound). Turut disentuh ialah keperluan kepada perkongsian data cerapan kualiti udara antara agensi, serta kepentingan mewujudkan kerjasama erat dalam aspek pemantauan, penyelenggaraan dan pelaksanaan tindakan kawalan secara bersepadu. Perbincangan juga merangkumi kaedah penyampaian maklumat kualiti udara secara masa nyata (real-time) kepada orang awam bagi tujuan kesedaran dan respons yang lebih pantas.

Selain itu, sesi turut menyentuh isu berkaitan operasi Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL). Pihak MBPG menerima sokongan positif daripada JAS dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan tapak pelupusan tersebut, termasuk keperluan untuk menyediakan pelan penutupan bagi operasi sedia ada. Perbincangan juga menjurus kepada halatuju seterusnya bagi operasi pelupusan sampah di kawasan MBPG agar lebih lestari dan teratur.

Sesi ini mencerminkan komitmen MBPG untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi persekutuan dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan warga Pasir Gudang secara menyeluruh.

LAWATAN JAS PUTRAJAYA