Majlis Bandaraya Pasir Gudang melalui Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA) dengan jayanya telah mengadakan Program Drill Exercise - Site Emergency Response Action (X-SERA 2024) bertarikh 19 November 2024 bertempat di Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan NGC Energy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Latihan dan Drill iaitu Johor Port Berhad Pasir Gudang, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd, Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) & VanceBioenergy Sdn Bhd dan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, PDRM (IPD Seri Alam), KKM (PKDJB, HSIJB & HSAJB) dan Jabatan Alam Sekitar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Mustaffa Kamal Bin Dato' Haji Shamsudin selaku Datuk Bandar MBPG merangkap penasihat PAGEMA yang bertempat di perkarangan parkir Shell Malaysia Trading Sdn Bhd. Turut hadir Puan Faridah binti Darwis selaku Pengurus Fasiliti Shell Malaysia dan William Ong Hung Boon Ketua Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar NGC.
Tujuan latihan pada kali ini lebih menitikberatkan peranan Ahli PAGEMA itu sendiri dalam menangani situasi kecemasan terutamanya bagi tindakan awal dan bantu mula. Latihan ini bukan menafikan tindakan mahupun pihak agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat atau mana-mana autoriti.
Pihak urusetia PAGEMA ingin menjemput dan menggalakkan semua pemain industri di Pasir Gudang tidak kira status sama ada kecil, sederhana dan besar untuk turut sama menyertai PAGEMA dengan harapan agar kita sentiasa bersedia dan dalam keadaan siap siaga menghadapi situasi kecemasan.