3 September 2026, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menganjurkan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Infrastruktur dan Utiliti Kawasan Industri di Four Points by Sheraton Johor Bahru, Bandar Seri Alam. Sesi yang turut disertai Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang ini merupakan platform strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur dan utiliti, selaras dengan hasrat YAB Menteri Besar Johor untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Perbincangan memberi tumpuan kepada kapasiti dan keupayaan infrastruktur serta utiliti sedia ada, termasuk bekalan elektrik, air, gas, telekomunikasi, jalan raya, pengangkutan, sistem saliran dan pengurusan sisa. Keperluan peningkatan kapasiti, kawasan yang memerlukan intervensi segera serta kesediaan infrastruktur bagi menyokong pelaburan baharu dan industri bernilai tinggi turut diberi perhatian.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Pasir Gudang menegaskan kepentingan memperkukuh kedudukan Pasir Gudang dalam Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berimpak tinggi dan industri masa hadapan. Penyediaan infrastruktur dan utiliti yang lengkap serta responsif terhadap keperluan industri merupakan faktor penting dalam meningkatkan daya saing bandar raya dan keyakinan pelabur.
Hasil FGD ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada cadangan konkrit dan pelan tindakan yang jelas melalui kerjasama strategik Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, syarikat utiliti, pemaju, pemain industri dan komuniti. Usaha bersepadu ini akan memperkukuh ekosistem industri Pasir Gudang serta merealisasikan hasrat menjadikan Pasir Gudang sebagai destinasi pelaburan yang bersedia, berdaya saing dan berimpak tinggi.