Langkau ke kandungan utama

23 Julai 2026, Yang Berbahagia Encik Ezlan Farid bin Mohd. Said, Setiausaha Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), bersama Ahli Majlis Zon Rinting 2, Tuan Law Yiak Kwang, telah mengadakan lawatan ke Blok Q, Jalan Balau 17, Taman Rinting bagi meninjau lokasi kejadian kebakaran yang melibatkan sebuah rumah di tingkat empat pada 22 Julai 2026.

Kejadian tersebut dianggarkan mengakibatkan kerosakan sebanyak 85 peratus, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketika kejadian, sembilan sekeluarga yang terdiri daripada seorang ibu, seorang Ketua Isi Rumah (KIR) dan tujuh orang anak berusia antara 10 bulan hingga 14 tahun berada di dalam rumah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Walau bagaimanapun, Ketua Isi Rumah mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan ketika menyelamatkan ahli keluarganya dan telah menerima rawatan di pusat perubatan.

Dalam lawatan tersebut, Setiausaha MBPG turut menyampaikan bantuan keperluan harian kepada keluarga mangsa, termasuk lampin pakai buang kanak-kanak serta susu formula bagi anak-anak yang masih kecil sebagai tanda keprihatinan dan sokongan MBPG terhadap keluarga yang terjejas.

MBPG mendoakan agar keluarga ini dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi dugaan ini.

Sehubungan itu, orang ramai turut diingatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di kediaman masing-masing dengan memastikan pemasangan elektrik, peralatan elektrik serta bahan-bahan yang berpotensi mencetuskan kebakaran sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

LAWATAN SU THUMBNAIL