Langkau ke kandungan utama

5 Mei 2025, Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000.00 kepada Universiti Utara Malaysia (UUM), yang diterima oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor UUM pada hari ini bertempat di Universiti Utara Malaysia.

Sumbangan ini adalah hasil daripada dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh rakan-rakan strategik MBPG dan disalurkan khusus bagi membiayai pembelian perkakasan komputer khusus untuk siswa dan siswi daripada keluarga B40, sebagai usaha menyokong keberlangsungan mereka dalam ekosistem pendidikan tinggi awam (IPTA), khususnya di era pembelajaran digital.

Dalam lawatan yang sama, MBPG turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UUM melibatkan bidang pentadbiran perniagaan, dengan fokus kepada peningkatan kompetensi pegawai kanan MBPG seperti Pengarah dan Penolong Pengarah. Inisiatif ini selaras dengan pengisian Johor Singapore - Special Economic Zone (JS-SEZ) dan bertujuan memperkukuh keupayaan pegawai MBPG dari segi kemahiran pelbagai tugas (multi-tasking) dan profesionalisme.

Melalui MoU ini, dijangka penjawat jawatan kanan MBPG akan mengikuti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara separa masa dengan pembiayaan penuh yuran pengajian.

Selain itu, MoU ini juga akan merangkumi usaha memperkasa golongan penjaja dan usahawan mikro melalui modul pengurusan perniagaan yang bersifat praktikal dan aplikatif, di samping memperluaskan kerjasama dalam bidang logistik dan pengurusan rantaian bekalan, sejajar dengan kedudukan strategik Pasir Gudang sebagai bandar pelabuhan dan perindustrian utama di Johor. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MBPG dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, meningkatkan daya saing modal insan dan memperkasa komuniti setempat secara holistik.

MOU MBPG BERSAMA UUM THUMBNAIL